بسم الله الرحمن الرحيم

* Dari Mushaab bin Saed, dari ayahnya, dia berkata: Rasulullah SAW. bersabda: “Orang yang terpilih di antara kamu sekalian adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain” (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0213) *

Mengajarkan Al-Quran sebagai Maskahwin

Dari Sahal bin Sa'ad As Sa'idi r.a., katanya: "Seorang perempuan datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata: "Aku datang untuk menyerahkan diri ku kepada anda." Kerana itu Rasulullah saw. lihat kepada perempuan itu sejak dari atas sampai ke bawah. Kemudian beliau diam sambil menundukkan kepalanya.

Tatkala dilihat oleh perempuan itu Rasulullah saw. tidak memberikan tanggapan apa-apa, lalu dia duduk. Maka berdirilah seorang sahabat sambil berkata: "Ya, Rasulullah! Jika anda tidak memerlukan wanita itu, kahwinkanlah dia dengan ku.

Rasulullah saw. bertanya, "Adakah engkau punya sesuatu untuk mas kahwinnya?" Jawab orang itu, "Tidak! Demi Allah, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Pergilah kepada keluarga mu, lalu cari-cari, mungkin engkau boleh mendapatkan sesuatu." Maka pergilah orang itu. Setelah kembali, dia berkata, "Demi Allah! Tiada satu pun yang ku peroleh untuk mas kahwinnya." Maka bersabda pula Rasulullah saw., "Cubalah engkau cari-cari, walaupun hanya sebentuk cincin besi."

Lalu pergilah orang itu, dan setelah kembali dia berkata pula, "Tidak ada yang Rasulullah. Tidak ada walaupun hanya sebentuk cincin besi. Yang ada hanya sarungku ini. Kata Sahal, dia tidak punya sarung selain yang dipakainya. Kuberikan untuknya separuh." Jawab Rasulullah saw., "Apa yang dapat engkau perbuat dengan sarungmu itu: jika engkau pakai, dia tak dapat memakainya, dan jika dia yang memakai, engkau tak punya apa-apa." Kerananya, maka duduklah si lelaki.

Setelah agak lama dia duduk, lalu dia berdiri. Rasulullah saw. melihat dia pergi, lalu disuruh panggil oleh beliau. Setelah dia datang, beliau bersabda : "Surah apa sajakah yang dapat engkau hafal di antara surah-surah Al Quran?" Jawabnya, "Aku hafal surah ini dan surah itu dia menghitung. Tanya Rasulullah saw., "Dapatkah engkau hafal di luar kepala?" Jawab: "Ya!" Sabda Rasulullah saw., "Engkau bawalah dia! Aku kahwinkan engkau dengannya, dengan mahar mengajarkan Al Quran yang engkau hafal kepadanya."

(Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1348)

Mahar Perkahwinan
Sebagai ringkasan kisah, pada zaman Rasulullah s.a.w. telah berlaku suatu peristiwa di mana seorang sahabat telah menawarkan diri untuk mengahwini seorang wanita muslim yang bersedia untuk dinikahi. Lalu Rasulullah s.a.w. bersetuju untuk menikahkan mereka sebagi suami isteri. lalu Rasulullah s.a.w. meminta sahabat tersebut menyedikan maskahwin pernikahannya.

Namun sahabat tersebut adalah merupakan seorang yang miskin dan tidak mempunyai sebarang harta untuk diberikan kepada bakal isterinya sebagai mahar perkahwinan mahupun sebentuk cincin besi.

Sebagai ikhtiar terakir, sahabat tersebut telah menawarkan kain sarung yang dipakainya untuk dijadikan mahar. Namun begitu, Rasulullah s.a.w. tidak bersetuju kerana ianya adalah satu-satunya pakaian yang dipakainya dan tidak mungkin kain sarung tersebut boleh dikongsikan bersama.

Akhirnya, Rasulullah s.a.w. bertanyakan kepada beliau tentang surah-surah Al-Quran yang dihafal olehnya dan boleh diajarkan kepada bakal isterinya. Maka dengan kelebihan hafalan Al-Quran yang dimiliki oleh sahabat tersebut, Rasulullah s.a.w. telah menikahkan beliau dan isterinya dengan mahar mengajarkan Al-Quran yang telah dihafalnya.

Begitulah kisah Al-Quran dan para sahabat Rasulullah s.a.w. semoga boleh dijadikan pedoman buat kita semua. Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...