بسم الله الرحمن الرحيم

* Dari Mushaab bin Saed, dari ayahnya, dia berkata: Rasulullah SAW. bersabda: “Orang yang terpilih di antara kamu sekalian adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain” (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0213) *

Belajar Al-Quran Teknik Al-Baghdadi

Teknik Al-Baghdadi adalah merupakan antara salah satu teknik alternatif pembelajaran Al-Quran yang kontemporari. Teknik Al-Baghdadi telah diasaskan oleh seorang anak Malaysia iaitu Ustaz Jalaluddin Hassanuddin Al-Baghdadi yang mempunyai pengalaman luas tentang pembelajaran Al-Quran.

Ustaz  Jalaluddin telah dilahirkan pada 15 Januari 1970 di Kampung Berhala Gantang, Pahang. Beliau adalah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Arab dan Pengajian Al-Quran dari Universiti Saddam, Baghdad, Iraq pada tahun 1998.

Ustaz Jalaluddin mempunyai pengalaman dalam menyusun dan mengendalikan program berbentuk kursus dan latihan kepada guru-guru serta ibu bapa di seluruh Negara hampir 10 tahun. Program-program yang dijalankan adalah khusus di dalam bidang pengajaran dan pembelajaran Al-Quran dan bahasa Arab. Ustaz jalaluddin juga mempunyai pengalaman luas di dalam mengendalikan kursus perguruan teknik al-Barqy selama 8 tahun.

Teknik Al-Baghdadi Bermula

Belajar Teknik Al-Baghdadi
Teknik Al-Baghdadi telah terhasil secara rasminya pada Mac 2009. Ianya adalah merupakan satu teknik inovasi pembelajaran pembacaan Al-Quran yang dibantu dengan peralatan yang dikenali sebagai ‘alat ketuk Al-Baghdadu’ yang diasas serta direka sendiri oleh Ustaz Jalaluddin. Kini beliau gigih bergerak ke hadapan dalam rangka memperkasakan serta mengetengahkan teknik inovasi ini.

Sehingga kini rangkaian pusat pendidikan yang dikenali sebagi Al-Baghdadi Learning Centre terus berkembang pesat selari dengan kehendak serta kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya pendidikan Al-Quran.

Kaedah Pembelajaran Teknik Al-Baghdadi

Menariknya, teknik ini perlu menggunakan ‘alat ketuk’ sebagai alat bantu mengajar utama yang digunakan sepanjang pembelajaran asas teknik Al-Baghdadi dan dibantu dengan penggunaan buku Tamhīd Al-Baghdadi. Alat ketuk tersebut telah rekacipta khas oleh pengasasnya sendiri bertujuan mendisiplinkan pelajar pada setiap bacaan melalui aktiviti satu intonasi ketukan pada setiap huruf yang dibaca.

Di antara keistimewaan teknik Al-Baghdadi adalah dengan mewujudkan satu suasana pembelajaran yang sangat ceria dan menyeronokkan. Hasil pembacaan secara berintonasi secara tidak langsung mewujudkan disiplin yang tinggi tanpa disedari oleh para pelajar.

Dengan penghasilan bacaan yang seiring serta aktiviti latih tubi yang berterusan dan tidak menjemukan, ianya berjaya menggerakkan fungsi otak kiri dan otak kanan secara serentak sepanjang proses pembelajaran. Proses pembelajaran yang tidak membosankan ini membantu mempercepatkan penguasaan bacaan Al-Quran sehingga ke hujung modul.

Teknik pembelajaran Al-Baghdadi ini dilihat mampu menarik minat yang mendalam dikalangan pelajar untuk terus mempelajari Al-Quran.  Teknik ini dapat menjimatkan tempoh pengajaran dan pembelajaran Al-Quran kerana buku yang digunapakai adalah ringkas dan padat.

Sumber Rujukan:
Jurnal Usuluddin 40 (Julai – Disember 2014): 51-69
Keberkesanan Teknik Iqra’ dan Al-Baghdadi: Suatu Perbandingan
Oleh: Norsyida Md Zin, Sedek Ariffin, Norhidayah Yusoff

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...